Thursday, 14 August 2014

AZLEE TAKUT JALANI PEMBEDAHAN KEDUA

No comments :

SUNGAI BULOH - Anggota kumpulan Senario iaitu Azlee bakal menjalani satu lagi pembedahan bagi membuang keseluruhan hempedu di dalam badannya pada September depan.

Azlee atau nama sebenarnya Mohd Azlee Jaafar, 47, berkata, pembedahan tersebut bakal dilakukan selepas dia membuang batu dalam hempedu yang telah memasuki usus di Hospital Pakar Damansara dekat sini pada 30 Julai lalu.

“Alhamdulillah keadaan saya sekarang beransur pulih selepas pembedahan pertama pada Hari Raya ketiga lalu.

“Bagaimanapun selepas luka bahagian dalam sembuh, saya akan melakukan satu lagi pembedahan bagi membuang keseluruhan bahagian hempedu itu kerana bimbang batu yang masih terdapat di dalamnya akan merebak ke bahagian lain,” katanya kepada mStar Online. Azlee ditemui di kediamannya di Saujana Utama di sini pada Khamis.

Hadir sama pada lawatan tersebut adalah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez, penyanyi Rozita Rohaizad dan pelawak Helmi Gimmick.

Dalam pada itu, Azlee mengakui berasa takut ketika diberitahu pihak hospital dia perlu dibedah bagi mengeluarkan batu dalam hempedu yang telah memasuki ususnya.

Jelas Azlee, pada awalnya dia menyangka hanya terkena sakit gastrik namun selepas beberapa kali mendapatkan rawatan sepanjang Ramadan lalu keadaannya tidak pulih sehinggalah dia terpaksa bertemu pakar di hospital berkenaan.

“Terkejut juga apabila doktor memberitahu tentang keadaan saya dan apabila diberitahu saya perlu dibedah saya sangat takut kerana saya tidak pernah memasuki bilik pembedahan sebelum ini.

“Saya terpaksa memberanikan diri kerana sudah tidak tahan menanggung kesakitan dan apabila diberitahu perlu menjalani pembedahan kedua saya jadi lebih bimbang,” jelasnya.

Tambah Azlee, pembedahan kedua itu nanti akan lebih besar kerana doktor akan menebuk pusat dan kedua-dua bahagian tepi perutnya bagi mengeluarkan hempedu tersebut.

Sementara itu, Azlee yang juga artis residen TV3 berkata, dia bernasib baik kerana kos perubatannya yang berjumlah RM16,000 di hospital berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak stesen tersebut.

Kata Azlee, lebih menyentuh hatinya, sepanjang berada di hospital, dia tidak putus-putus dikunjungi sahabat dan kenalan yang risaukan keadaan kesihatannya.

“Saya tidak pernah sedar rupa-rupanya saya dikelilingi oleh ramai sahabat handai yang begitu mengambil berat terhadap keadaan diri saya.

“Sampaikan ada di antara mereka datang menemani saya di hospital sehingga pukul tiga pagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Freddie yang sempat meluangkan masa hampir satu jam bersama Azlee berkata, beliau gembira melihat perkembangan positif pelawak itu.

Jelas Freddie, lawatan tersebut bukan sahaja bagi menghargai sumbangannya dalam industri tetapi sebagai seorang rakan lama.

“Kami adalah sahabat lama dan berita mengenai masalah kesihatannya mengejutkan saya dan ramai pihak lain.

“Namun syukur keadaannya beransur pulih dan sama-sama kita mendoakan pembedahan kali kedua itu nanti berjalan dengan baik,” ujarnya. Freddie turut menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Azlee pada pertemuan tersebut bagi pihak Karyawan, lapor mStar.

No comments :

Post a Comment