Wednesday, 24 September 2014

WAJAH TERKINI STACY & ANAK ANGKATNYA, BEYYA

No comments :

KUALA LUMPUR: Di laman Instagram, ramai golongan selebriti gemar berkongsi keletah anak mereka. Erra Fazira, Ning Baizura, Tomok, Nana Mahazan, Diana Rafar, Yasmin Hani antara yang sering memuat naik gambar atau video anak mereka melakukan aktiviti menarik atau memaparkan ekspresi comel.

Stacy sendiri juga sering kali memuat naik gambar anak angkatnya, Bella Valentina yang mesra dengan panggilan manja Beyya. Beyya yang akan genap tiga tahun pada Februari turut memiliki akaun Instagramnya sendiri di bawah nama @beyya1402.

Kini sudah menjadi aliran mewujudkan akaun anak selebriti dalam kalangan artis tanah air. Bagi Stacy menjadi ibu segera, tiada beza seperti wanita lain yang berstatus ibu dan bekerjaya pada masa sama.

"Untungnya saya bukan hari-hari kerja seperti mana ibu bekerjaya lain. Jadi pantang ada masa terluang, saya pasti manfaatkan bersamanya. Cuma kalau masa kerja, saya akan fokus sepenuhnya.

"Oleh kerana peminat serta pengikut saya di laman sosial meminati Beyya secara tak langsung, jadi sebab itu saya tak lokek berkongsi keletah dan gelagatnya. Saya bangga nak tunjuk perkembangan pertumbuhannya.

"Saya nak kongsi Beyya pandai belajar apa hari ini dan seterusnya. Selalunya kalau tak ada kerja seni, memang masa banyak dihabiskan dengannya sama ada di rumah atau mengunjungi pusat beli belah terdekat di rumah," katanya yang dipanggil Mummy oleh Beyya.

Ramai berpendapat, membela anak angkat bukan mudah dan Stacy sendiri tidak menafikan hal itu.

"Malah selepas jadi ibu segera, banyak perubahan dalam diri yang selama ini saya buat dan sekarang tidak buat lagi," katanya.

Mengenai kerjaya seni, Stacy sedang mempromosikan album ketiganya bersama sokongan Astro. Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 itu sedang mempromosikan single Patah.

Khabarnya selepas pernah berduet dengan Akim dan kumpulan Smash dari Indonesia, Stacy akan bergabung pula dengan Zizan Razak dan kumpulan Ungu. Stacy bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Semuanya masih dalam perbincangan dan belum ada kata putus," katanya. Laporan asal dari BERITA HARIAN

No comments :

Post a Comment